BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Fakhrus Diary

Fakhrus Diary

Sunday, 31 July 2011


Selamat datang Ogos, bulan kemerdekaan. Rasanya memang kena sangat 31 0gos tahun ini dengan ‘bulan merdeka’ kerana ogos ini,  kita semua (umat Islam) juga melangkah ke bulan Ramadhan.
Maka merdekalah kita sebulan daripada gangguan syaitan kerana pada bulan Ramadhan, semua syaitan akan diikat dan dipenjarakan. Begitulah yang saya belajar dan diajar oleh ustaz/ustazah zaman kecil-kecil dan sehingga sekarang ustaz/ustazah masih mengungkapkan hal yang sama. Cuma yang masih terlepas bebas adalah syaitan dalam diri. Jadi perjuangan hebat kita adalah untuk menewaskan syaitan itu sepanjang melalui Ramadhan.
Terus-terang, saya memang suka sangat dengan kedatangan Ramadahan ini. Kalau zaman kanak-kanak/remaja dulu semasa di kampung, saya tak nafikan suka amat dengan kepelbagaian juadah berbukanya. Sementelaah saya mempunyai adik-adik yang ramai (saya anak sulong), jadi waktu berbuka itu terasa sangat indah dengan riuhan adik-beradik kami yang suka berebut2 makanan. Walaupun juadah kami tidak semewah mana, tetapi aktiviti ‘berebut’ itulah yang membuatkan kami berselera makan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Ada ketika juga kami buat moreh dan berbuka serta solat berjemaah di masjid berhampiran kampung kami. Seronoknya menikmati zaman itu  :D

Apabila mula berhijrah ke bandar kerana mencari rezeki pula, saya selalu benar dapat makan percuma di hotel dan restoran mewah kerana orang-orang besar dan syarikat besar memang suka meraikan kakitangan-kakitangan di pejabat saya bekerja ketika itu. Bertuah rasanya kerana hampir setiap hari ada saja jemputan untuk meramaikan lagi majlis berbuka puasa. Maka jimatlah perbelanjaan saya. Jadi duit lebih-lebih itu dapatlah disedekahkan kepada adik-adik dan sedara-mara pada hari raya.
Itu dulu agaknya sebab sudah puas makan bersama teman2, maka sekarang (ini tahun ke-2) saya akan menjalani ibadah puasa bersama mr suami. Keinginan berbuka secara bermewah-mewah mula berkurangan. Tambahan saya tidak lagi bekerja dan ada banyak masa untuk memasak di rumah. Cuma suasananya tidak riuh seperti masa2 dulu kerana kami hanya berdua. Sesekali mungkin juga kami berbuka di luar. Tak pun lebih mudah dan senang dengan meng’habis’kan duit di bazar Ramadhan saje :lol:

Namun saya perhatikan pada tahun-tahun sebelumnya memang benar Ramadhan waktu terbaik untuk berniaga. Para peniaga murah rezeki. Bagi pembeli pula, berkat membeli waktu Ramadhan kerana ini pun semacam sumbangan juga kepada golongan yang memerlukan. Namun kalau membeli tidak berpada-pada, bimbang hilanglah pula berkat itu. Semua benda mahu dibeli menjelang ramadahan ini. Baju 5 pasang, tudung 5 helai, kasut, sofa, langsir, perabot … semuanya serba baru. Tidakkah keterlaluan namanya? Kalau banyak sangat membazir, takut nanti kita ‘kalah’ sebelum masuk berperang. Bukankah Ramadhan itu bulan perjuangan melawan hawa nafsu tetapi kalau belum berjuang sudah kalah, apa lagi yang tinggal?

Pendek kata, tepuk dada tanya selera. Walau apa pun juga alasannya, memperoleh keberkatan dan pahala daripada Allah adalah perkara yang perlu kita rebut sepanjang sebulan ini. Selamat menempuh Ramadhan yang mulia lagi berkat buat pembaca blog mymekar.com. Semoga kita semua istiqamah berjuang sehingga akhirnya.
















0 comments: